11 December 2013

Tekanan terhadap kita wajar diambil dengan positif, jangan merungut tak menentu

Keadaan politik semakin hari semakin rumit walaupun telah melalui pemilihan dalam pilihanraya yang lalu. Tidak ada perkara yang tidak dipertengkarkan dan tidak ada pula penyelesaiannya sehingga hari ini. Kita mengharapkan selepas sahaja pilihanraya yang lalu semuanya akan kembali teratur dan tidak menyemakkan pemikiran orang ramai lagi. Tetapi ia masih menjadi masalah kerana semua pihak menjadikan semua perkara sebagai masalah.

Tiada satu pihak pun yang berasa aman kerana setiap hari ada sahaja isu yang berbangkit dan menjadi polimik politik rakyat. Kita mesti memahami yang hidup kita bermasyarakat. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak boleh bebas dalam semua hal kerana kita perlu memahami perasaan semua pihak dan tidak boleh melakukan semua perkara sesuka hati.

Negara kita telah diabaikan sebegitu lama kerana menumpukan hanya kepada pembangunan fisikal yang dianggap satu-satunya cara untuk ‘nation building’. Apabila terbangun bangunan yang tinggi-tinggi dan jambatan yang panjang-panjang itu dianggapnya mencukupi untuk membangunkan sesebuah negara.

Pembangunan insan yang berkualiti diabaikan, perhubungan diantara kaum bukan sahaja dibiarkan merosot malahan isu perkauman dimainkan kerana politik bangsa-bangsa mereka sendiri yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak yang bertentangan. Pihak yang memerintah pula memainkan isu perkauman untuk menuntut bangsanya bersatu dan sentiasa menakut-nakutkan orang Melayu tentang bahayanya ‘invasions’ bangsa lain dalam ekonomi dan politik.

Di pihak yang lain dari pembangkang pula tidak bercakap secara terbuka memainkan isu perkauman mereka tetapi memainkannya dengan senyap untuk mengaut segala-galanya melalui tindakan halus yang sangat merbahaya dan menakutkan bangsa lain. Mereka tidak mahu mengikut semangat kebangsaan negara dan tidak mengikuti dalam membina  semangat perpaduan yang akan menyatukan negara sebagai matlamat ‘ultimate’ kita semua.

Khairy telah menyebutnya dalam ucapan beliau dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini yang menuduh syarikat-syarikat bukan Melayu tidak gemar mengambil bangsa Melayu sebagai kakitangan pengurusan syarikat mereka. Syarikat-syarikat ini menyekat penglibatan orang Melayu dalam ‘conglomerates’ mereka dengan menekan kemahiran berbahasa mandarin sebagai syarat untuk berkerja dalam syarikat mereka. Kita boleh melihat buktinya jika kita meneliti iklan-iklan peluang perkerjaan dalam akhbar-akhbar tempatan kita.

UMNO tidak mengambil perhatian dalam isu ini, dan tidak ramai pun yang sedar tentang berlakunya perkara sebegini dalam negara kita, dan ini adalah satu fenomena baru dalam industri pekerjaan-pekerjaan di negara ini.

UMNO sepatutnya menjadikan tindakan negatif bangsa bukan Melayu ini sebagai cabaran dan mengusahakan dalam membentuk dasar yang boleh membina bangsa Melayu yang diperjuangkannya dengan menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa yang wajib lulus atau setidak-tidaknya menjadi mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua bangsa termasuk bangsa Melayu disamping mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.

UMNO sepatutnya menerima ini sebagai cabaran dan untuk kebaikan bangsa Melayu yang lebih progresif dari memendam rasa sedih dan pilu kerana ‘apa yang orang Cina buat kepada mereka’. Tidak berhenti memekik tetapi tidak pula mahu menambah kekuatan dengan ilmu tambahan seperti memahirkan diri berbahasa Mandarin ini.

Walaupun tindakan kaum itu boleh diandaikan sebagai ‘insubordination’ terhadap dasar kerajaan negara kita, orang Melayu pimpinan UMNO wajar mengambilnya sebagai cabaran untuk kebaikan bangsanya sendiri bukanya mundar mandir dengan marah-marah.

Apa yang disebut Khairy dalam Perhimpunan itu ada kebenarannya yang jelas. Tetapi Khairy mesti berusaha untuk menjadikan isu ini sebagai peluang untuk memperbaiki orang Melayu, khususnya yang muda-muda untuk meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bahasa Mandarin ini.

Orang muda mungkin tidak melihat bagaimana orang Cina sangat tidak berpuas hati apabila bahasa Melayu ini dijadikan bahasa wajib dalam sekolah-sekolah kebangsaan dan menjadi syarat lulus untuk mendapatkan sijil persekolahan mereka. Tetapi dalam mereka tidak berpuas hati mereka mengambil cabaran ini dan dalam masa kurang dari sedekad anak-anak muda bangsa Cina telah mahir dalam bahasa Melayu dan telah menyaingi malahan melebihi pencapaian dalam bahasa Melayu ini dari orang melayu sendiri.

Cucu saya sendiri mengambil ‘tuition’ bahasa melayu dengan seorang guru dari bangsa Cina. Inilah cabaran bagi orang Melayu untuk bersaing bukannya untuk merungut dan merasa rendah diri sehinggakan memekik kehulu kehilir memainkan sentimen perkauman yang menebal.

Kita belajarlah secara beransur-ansur dan tidak perlu bergegas jika tiada kemampuan untuk bergegas itu. Kata orang tua-tua, ‘kerja beransur tidak bertahan’. Ia akan tetap mendapat kejayaan.

Kepada mereka yang berebut-rebut hendak kuasa itu, buatlah kerja dan penuhi tanggungjawab setelah mendapat kuasa dan tempat yang tinggi itu. Jangan pula menjadi dedalu yang hanya hidup diatas kesusahan dan pengorbanan orang lain.

5 comments:

Alfred said...

"UMNO sepatutnya menjadikan tindakan negatif bangsa bukan Melayu ini sebagai cabaran dan mengusahakan dalam membentuk dasar yang boleh membina bangsa Melayu yang diperjuangkannya dengan menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa yang wajib lulus atau setidak-tidaknya menjadi mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua bangsa termasuk bangsa Melayu disamping mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.

UMNO sepatutnya menerima ini sebagai cabaran dan untuk kebaikan bangsa Melayu yang lebih progresif dari memendam rasa sedih dan pilu kerana ‘apa yang orang Cina buat kepada mereka’. Tidak berhenti memekik tetapi tidak pula mahu menambah kekuatan dengan ilmu tambahan seperti memahirkan diri berbahasa Mandarin ini."

Saya setuju dengan ini juga. Sebagai seorang remaja cina yang hanya mempunyai pelajaran bahasa mandarin sampai tahap PMR, rasa kan bagus kalau saya mempelanjuti lagi dengan bahasa mandarin saya ke tahap lebih tinggi. Tujuan ini adalah supaya saya cukup mempertandingkan pada tahap antarabangsa di zaman globalizasi ini. Kalau semua Malaysian dapat belajar ibu bahasa mereka, katalah Hindi/tamil, Bahasa melayu, bahasa cina, Malaysian akan kuasai bahasa yang dicakap oleh populasi 1/4 daripada sedunia!

Anonymous said...

Kebebasan rakyat untuk memilih mana-mana parti untuk mentadbir negara seharusnya dilihat sebagai suatu perkembangan yang positif amalan demokrasi negara.

Anonymous said...

Pak Aspan,

The real problem is that politicians and most public servants, including those with master and 'phd', have not worked in the private sector to fully understand the life and reality of being an employee of private business or owing their own business.

Many Non Malay educated in national schools were badly discriminated when applying for jobs or consider for promotion in govt.and GLCs....senior positions are always political appointment and the govt. have no real interest and commitment to attract and retain good and talented Non Malay.

To survive and cari makan, with family to feed and rent to pay, they have to find other skills eg. leaning another language, put up with exploition by employers with low pay to get experience, bad working conditions and HOPE to get better jobs and income with other better employers and etc..

In a free market, private businesses and employees have choices....as employees are the greatest asset of the business, only good employers will get to retain good and hard working employees to help them build and expand their businesses.


Anonymous said...

Nak diharap UMNO mewujudkan persaingan cara sihat, merupakan satu perkara yang mustahil. Telah banyak kali diutarakan cadangan-cadangan untuk membina negara bangsa, semuanya dibakulsampahkan.Ini kerana mereka sedar jika rakyat terutamanya melayu dapat hidup senang, ketika itu UMNO tiada lagi isu untuk survival politiknya. Talian hayat UMNO adalah diatas kesengsaraan, kebodohan dan kesibukan masa rakyat. Hidupnya UMNO hanyalah kerana penipuan dan mengapi-apikan antara kaum. Ego politik melayu tidak mungkin pula hendak meletakkan bahasa kaum lain sebagai salah satu yang perlu diutamakan juga. Itulah sebabnya hanya bahasa melayu dan bahasa inggeris sahaja diberi penekanan, itupun melayu ketinggalan berbanding kaum lain.
Tidak kurang pentingnya, sebelum cadangan saudara dibincangkan pemimpin UMNO telah memikirkan, 'apa dan berapa yang aku akan dapat'?

Anonymous said...

Aik, bukan saudara yg kuat bersungut ke dulu? Baru baru.ni je nampak sabar dan positive.