16 May 2008

Tengku Razaleigh penjana ekonomi Melayu - Part 2

Tengku Razaleigh (TR) tidak berhenti setakat penubuhan Bank Bumiputra (BBMB) sahaja.

Tun Razak yang ketika itu menjadi Perdana Menteri telah memberi beliau tugas untuk menubuhkan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Petroleum Nasional Bhd (PETRONAS).


TR telah mencadangkan kepada kabinet untuk mewujudkan PERNAS bagi membina bumiputera dalam bidang perdagangan dan peruncitan kerana ini merupakan bidang yang paling lemah bagi orang Melayu.

Semasa kejadian 13 Mei ’69, orang Melayu hampir keputusan punca peruncitan seperti barang-barang keperluan dapur kerana orang Melayu tidak mempunyai ‘network’ yang kukuh.

PERNAS telah berkembang dengan begitu pantas dan salah satu kegiatan yang diterokainya ialah dengan penubuhan PERNAS edar bagi membina masyarakat peruncitan orang Melayu.

Pelaburan korporat PERNAS yang baik telah menjadikan PERNAS sebuah perbadanan kepentingan Bumiputera yang terbesar di negara ini.

Tetapi PERNAS edar tidak lagi wujud sejak ketiadaan TR dalam kerajaan hasil kelemahan pentadbiran dan pengurusan.

Selepas TR meninggalkan kerajaan, PERNAS yang begitu besar telah menjadi perbadanan yang tidak lagi terurus seperti dahulu kerana perubahan dasar yang tidak sempurna oleh pihak yang berwajib.


Pada masa yang sama, TR telah membuat persediaan untuk menubuhkan PETRONAS dan akhirnya syarikat gergasi petroleum ini telah mula berfungsi pada tahun 1974 yang lalu dan sehingga kini PETRONAS telah berkembang dengan pesatnya.

Penubuhan PETRONAS bukanlah satu usaha yang mudah kerana banyak pengaruh asing yang telah cuba menggagalkan usaha kerajaan kita untuk menubuhkan PETRONAS mengikut acuan kita sendiri.

Berbagai usaha telah dilakukan oleh pihak asing terutamanya di kalangan syarikat minyak besar yang tidak berpuas hati kerana TR tidak tunduk kepada kehendak serta kemahuan mereka.

Sebagai seorang patriot, TR tidak mahu kuasa asing menunjuk ajar kita untuk kepentingan mereka semata-mata.


Isu ini perlu diketahui oleh pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan supaya kita tahu bagaimana pemimpin yang bersemangat waja melaksanakan tugas untuk bangsanya.

Saya ingin mencadangkan kepada pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian untuk bertanya sendiri kepada TR tentang susah-payah yang dilalui oleh beliau dalam usaha menubuhkan PETRONAS dalam siri dialog beliau dengan pemimpin-pemimpin cawangan.

Pemimpin-pemimpin cawangan perlu tahu akan hal ini bagi memudahkan kita menghayati pengorbanan pemimpin dahulu untuk kepentingan rakyat yang kini sudah luntur.

Jika kita faham isu sebenarnya, maka kita tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur yang tidak benar dan akhirnya akan mampu untuk membuat keputusan yang baik dalam usaha kita memperbetulkan UMNO yang sudah hampir pupus hari ini.

Cukup rasanya buat kali ini, kerana saya akan menulis tentang Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), badan-badan yang telah banyak memberi faedah secara terus kepada orang Melayu dan bumiputera…… satu lagi bekas tangan TR.



Sekian…………………………………………………………………. Aspan Alias

No comments: