06 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang ( bahagian 5)

Allahyarham Tun Razak adalah seorang pemimpin yang tidak ada perasaan rendah diri kerana beliau telah membentuk pemimpin pelapis tanpa rasa takut dibayangi oleh pemimpin-pemimpin pelapis tersebut.

Beliau mendidik serta melatih kepimpinan kerana beliau tahu bahawa itu merupakan tanggungjawab yang amat penting bagi memenuhi pimpinan masa depan yang mampu untuk memenuhi aspirasi rakyat dan negaranya.

Tengku Razaleigh adalah diantara yang dibentuk oleh Tun Razak untuk menjadi pemimpin nombor satu negara selain dari Dr Mahathir dengan memberikan tanggungjawab yang begitu besar didalam proses menjayakan DEB yang bermotifkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tun telah memberikan kepada Tengku Razaleigh tugas dan tanggungjawab membentuk Petroleum Nasional Bhd (PETRONAS), PERNAS, dan banyak yang lain lebih-lebih lagi setelah beliau dilantik menjadi menteri kewangan semasa Datuk Husein Onn menjadi Perdana Menteri pada Januari 1976.

Ku Li telah memperhambakan diri beliau untuk memandu perlaksanaan DEB, dan beliau berada di mana-mana dalam membangunkan bangsanya sebagaimana yang dikehendakki oleh UMNO yang menjadi teras kepada pembentukan DEB.

Nama beliau menjadi sebutan diperingkat antarabangsa sehinggakan beliau telah dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Dunia pada tahun 1977.

Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Islamic Development Bank (IDB) yang berpusat di Jeddah dan pengerusi Lembaga Pengarah Asian Development Bank (ADB) yang berpusat di Manila.

Pendek kata, beliau telah menjadi Pengerusi kepada tiga institusi kewangan terbesar di dunia yang mempunyai tiga fungsi yang berlainan dan ini merupakan rekod kecemerlangan individu yang belum lagi dialami oleh mana –mana pemimpin.

Kecemerlangan rekod beliau ini menjadi sebutan rakyat semasa itu dan beliau disokong oleh UMNO dengan begitu kuat dan beliau dengan mudah mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO dengan begitu mudah sehingga tahun 1981.

Beliau mendapat sokongan kuat dari parti-parti komponen BN dan matlamat mencapai perpaduan kaum kian berjaya.

Dalam senyap-senyap, kejayaan beliau itu menyebabkan ada beberapa pemimpin di dalam UMNO yang tidak begitu senang dengan Ku Li dan berpakat untuk menyekat kemaraan beliau di dalam hieraki kepimpinan UMNO.

Perasaan cemburu dan iri hati beberapa orang dalam kepimpinan UMNO amat kuat dan kumpulan ini hanya menunggu saat yang sesuai untuk menjatuhkan beliau.

Saat itu sampai pada tahun 1981 apabila pada tahun itulah berlakunya apa yang selalu sebutkan oleh banyak pihak sebagai tahun ‘penyembelihan’ Tengku Razaleigh oleh kumpulan ini.

Pada tahun itulah berlakunya pertandingan jawatan peringkat tertinggi yang pertama dalam sejarah UMNO yang telah mendapat liputan media antarabangsa dengan begitu meluas.

Tengku Razaleigh telah tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden di tangan Dato’ Musa Hitam yang jelas disokong oleh Presiden UMNO yang baru Dr Mahathir Mohammad.

Dalam pertandingan itu, terjadilah permainan kotor politik yang tidak ada bandingannya semata-mata untuk membunuh pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah.

Episod ini merupakan permulaan UMNO itu berubah dalam banyak perkara dan hasilnya hanya dapat kita rasai selepas beberapa tahun selepas itu dan pada tahun itu jugalah bemulanya UMNO sedikit demi sedikit berpecah dan lemah semangatnya sebagaimana yang kita rasai sekarang.

Saya ada kecenderungan untuk menulis isu ini dalam beberapa hari lagi…..Aspan Alias.

.

No comments: