24 February 2007

44. Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 3)

Sebahagian daripada apa yang dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Razak untuk DEB bermula sejak pentadbiran Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj.

Contohnya, penubuhan Bank Bumiputra Bhd (BBMB) dilakukan sebaik sahaja Kongres Melayu yang pertama pada tahun 1965 dalam mana salah satu keputusan kongres itu ialah untuk menubuhkan sebuah bank perdagangan untuk dipunyai oleh bumiputra melalui pegangan kerajaan.

Encik Raslan Abdullah dan Tengku Razaleigh ditugaskan untuk melaksanakan keputusan Kongres Melayu ini dan diminta mewujudkan BBMB dalam jangka masa yang singkat.

Encik Raslan Abdullah dapat bersama BBMB hanya seketika, kerana beliau meninggalkan kita dalam satu kemalangan jalanraya di Kuala Lumpur, maka Tengku Razaleih telah meneruskan usaha menubuhkan BBMB dan kita akhirnya berjaya mempunyai sebuah bank kebanggaan serta simbul keupayaan melayu di dalam bidang kewangan.

Dengan tertubuhnya BBMB maka bermulalah orang melayu beransur-ansur menapak ke bidang kewangan yang mana sebelum itu orang melayu tidak bermimpi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak pernah dimimpikan sebelum itu.

Menubuhkan sebuah bank bukanlah kerja yang susah; pergi ke pendaftar syarikat dan tubuhkan sahaja bank itu dan terus pindahkan semua akaun kerajaan ke dalam bank itu.

Tetapi yang merumitkan ialah penerimaan orang melayu terhadap sistem perbankan semasa dekad enam puluhan itu.

Bagi orang melayu semasa itu bank merupakan satu institusi haram yang melibatkan aktivitinya dengan elemen ‘riba’, yang haram di sisi agama suci kita.

Bilangan orang melayu yang bekerja di dalam bidang perbankan semasa itu boleh dikira dengan jari, maka itulah sebabnya BBMB terpaksa mengambil Encik Khoo Kay Peng sebagai pengurus cawangan yang pertama BBMB di Jalan Melaka untuk membantu melatih anak-anak melayu kita dalam bidangan pengurusan bank.

Tengku Razaleigh telah berusaha untuk meyakinkan orang melayu bahawa institusi bank amat perlu diwujudkan dan dikembangkan jika bangsa kita hendak setanding dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia ini.

Jabatan penerangan telah begitu aktif memberikan penerangan di seluruh negara untuk meyakinkan rakyat dan UMNO begitu aktif memberikan keyakinan kepada rakyat betapa pentingnya sistem perbankan kepada kemajuan dan jaminan kehidupan generasi yang akan datang.

Akhirnya kewujudan BBMB menjadi kenyataan dan Tengku Razaleigh telah berjaya menjadikannya sebagai bank terulung di negara ini dan menjelang tahun 1974, BBMB telah mewujudkan cawangan di London, New York , Hong Kong, Singapura dan Tokyo.

Tengku Razaleigh bukan sahaja menjadikan BBMB sebagai institusi kewangan yang maju tetapi beliau telah menjadikannya sebagai egen perubahan minda melayu yang penting untuk membawa orang melayu ke arah kehidupan moden.

Langkah pertama yang beliau lakukan ialah memperuntukkan jumlah wang yang besar melalui BBMB untuk meningkatkan taraf orang melayu di bidang professional dengan memberikan ribuan biasiswa kepada bumiputra untuk belajar di dalam dan luar negara.

BBMB telah menterjemahkan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpinnya kepada usaha-usaha yang ‘organic’ untuk merubah orang melayu yang hidup terkongkong dengan kehidupan ‘conventional’ kepada hidup yang moden mengikut waktu dan zamannya.

Sebagai seorang nasionalis dan teknokrat, Tengku Razaleigh memberikan fokus kepada pelajaran kerana pelajaran sahaja yang boleh membina sebuah bangsa yang maju dan setanding dengan bangsa lain.

Beliau telah memberikan tumpuan dengan memberi latihan kepada anak-anak melayu untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang kewangan ini.

Selain daripada BBMB, Tengku Razaleigh dalam masa yang sama telah memulakan penubuhan PERNAS dan membuat persediaan untuk penubuhan Petroleum Nasional Bhd (Petronas) dan banyak lagi syarikat-syarikat awam kerajaan dan kabinet Tun Razak telah memberikan kelulusan dan kerjasama yang kuat untuk mewujudkan badan-badan ini demi kepentingan negara.

Segala syarikat-syarikat kerajaan ini telah dipindahkan penyelarasannya di bawah Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Sejak dari pertengahan tujuh puluhan, semua syarikat awam kerajaan seperti Bank Bumiputra, Pernas, Petronas, dan yang lain-lain diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.

‘Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang’ bahagian keempat akan menysul dalam sehari dua lagi. …………………………………………………..Aspan Alias

No comments: