21 January 2007

31. Yang mana kambing, yang mana ayam?

Satu hakikat yang berlaku dalam parti kita ialah polimik antara penyokong-penyokong pemimpin besar negara.

Masing-masing ada seni dan cara untuk menaikkan nama pemimpin sokongan mereka.

Tetapi satu cara yang lazimnya dilakukan mereka ialah dengan mengkritik kepimpinan yang tidak sebulu dengan pemimpin sokongan mereka sedangkan setiap pihak ada keburukan dan kecacatan masing-masing.

Keadaan ini tidak ubah seperti cerita ayam dengan kambing yang suka mencela antara satu sama lain.

Kambing berkata kepada ayam, “Ayam, kau ini cantik. Bulu engkau cantik, balong kau lawa, tapi kau tidak boleh dibawa ke tengah, sebab kau tidak pakai KASUT!”

Ayam lantas menjawab, “Hai kambing! Betul engkau pakai kasut, tanduk engkau cantik! Janggut engkau kemas! Tapi kau mesti sedar diri kau, yang engkau tu lagi tak malu…kau tak pakai seluar dalam! Kau tayangkan TELUR kau. Semua orang nampak!”

Begitulah hakikatnya keadaan pemimpin-pemimpin kita pada hari ini.

Masing-masing ada jentera untuk menjatuhkan pemimpin yang dicemburuinya dengan cara begini, sedangkan dia sendiri ada masalah dan kecacatan sendiri.

Bagi kita yang di bawah ini, kita melihatnya dengan perasaan yang bercampur-campur.

Kadangkala kita rasa malu, ada kalanya berasa marah dan selalunya kita pandang situasi ini sebagai lawak jenaka yang dipersembahkan oleh pelawak pelawak bodoh.

Tetapi akhirnya mereka jugalah yang akan memimpin kita. Itulah sistem yang ada dalam parti kita.

Wassalam.

No comments: