18 January 2007

29. Pemimpin UMNO sokong DAP?

Di dalam Bab 3 Perlembagaan UMNO sudah diperjelaskan perjuangan sebenar parti kita. Pemimpin besar dalam UMNO tidak tahu apa sebenarnya matlamat perjuangan parti yang mereka pimpin.

Setengah pemimpin bercakap tentang semangat kebangsaan dan ada pemimpin bercakap tentang perjuangan mewujudkan Bangsa Malaysia.

Sesungguhnya Bab 3 Perlembagaan itu telah disajikan intipati perjuangan. Siapa yang memperjuangkan perkara yang lain dari yang disebut oleh Bab 3 itu adalah orang yang patut tinggalkan parti kita ini dan sertailah DAP.

Jika benar perjuangan kita untuk membentuk Bangsa Malaysia dan bukannya memperjuangkan Kedaulatan Bangsa Melayu, maka elok kita semua memberikan sokongan kepada parti DAP.

DAP lah parti yang konsisten memperjuangkan untuk pembentukan Bangsa Malaysia. Dari dahulu hingga lah sekarang parti itu memperjuangkan Bangsa Malaysia yang bersatu.

Kadangkala pemimpin kita cukup pandai memerangkap diri sendiri kerana mereka bercakap tanpa terlebih dahulu berfikir hinggakan mereka tidak tahu apa yang diperkatakan lantaran memberi padah yang buruk kepada bangsa kita.

Tanpa disedari pemimpin kitalah sebenarnya memperjuangkan serta menyokong parti DAP.

Di dalam pilihanraya lazimnya kita membuat isu yang DAP itu adalah anak kelahiran PAP Singapura.

Kita takut jika DAP memerintah, Malaysia akan mengikut telunjuk Singapura.

Di sini kita ingin bertanya, bukankah sekarang ini UMNO yang mengikut telunjuk Singapura?

Yang memberikan Singapura kemudahan untuk bermaharajalela di negara kita ialah pemimpin UMNO.

Yang bersetuju untuk Singapura membeli asset strategik kita ialah pemimpin UMNO kita, bukan DAP.

DAP belum ada rekod menjual harta benda strategik kita kepada negara yang mungkin menjadi ‘Colonial Master’ kita yang baru itu.

Dulu Singapura kita yang punya, tetapi sekarang kalau salah langkah, kita akan menjadi kepunyaan Singapura.

Marilah kita mengadakan kembali kursus-kursus sivik untuk ahli-ahli UMNO, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin besar kita.

Persepsi perjuangan pemimpin- pemimpin kita sudah menjadi caca marba.

UMNO hanyalah modal perniagaan ramai pemimpin kita.

Kalau UMNO masih bernafsu untuk berkuasa lebih lama pandanglah kritikan ini dengan positif. Janganlah ambil isu perjuangan ini dengan sambil lewa sahaja.

Pemimpin yang cuba untuk mengubah perjuangan UMNO kita, mereka dialu-alukan meninggalkan parti kita ini dari menjadi petualang kepada perjuangan orang melayu.

WASSALAM





..





No comments: