11 January 2007

26. Cikgu Kahar dalam kenangan

Pada jam 2.30 pagi 9 Januari 2007, saya mendapat pesanan ringkas daripada Zawawi Zain memberitahu saya yang Cikgu Kahar Ahmad, seorang pejuang melayu terkenal telah meninggal dunia pada malam itu.

Saya menerima berita itu dengan perasaan sedih dan hati saya berkata, “hilang seorang lagi pejuang melayu” yang amat saya hormati. Seorang demi seorang pejuang yang mengenali bangsanya pergi meninggalkan kita.

Saya mengenali Cikgu Kahar semasa beliau mengambil alih kepimpinan UMNO Muar pada tahun 1985 daripada Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah. Cikgu Kahar memang terkenal dengan sikap yang tegas dan lantang apabila memberi pandangan serta menentukan pendirian terhadap sesuatu isu yang berbangkit.

Semasa UMNO diharamkan Allahyarham bingkas menkeritik pucuk pimpinan semasa itu kerana cuba menghalang usaha pihak ‘Team B’ dalam UMNO untuk menghidupkan UMNO lama. “Celakalah sesiapa yang cuba menghalang penhidupan UMNO ini.” Katanya marah-marah.

“Kenapa pucuk pimpinan tidak menggunakan akta pertubuhn 1965 seksyen 70 yang memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menghidupkan mana mana pertubuhan yang di batalkan pendftarannya oleh mahkamah” bentaknya di dalam ceramah umum di Paguh dalam mana saya merupakan salah seorang dari penceramahnya.

“Ini membuktikan permainan politik pimpinan yang berkuasa tidak memikirkan tentang parti dan orang melayu! Dia mementingkan peribadinya sahaja. Dia takut kedudukkannya terjejas! Petualang petualang!” katanya.

Radzi Sheikh Ahmad (S/U agung UMNO sekarang) merupakan pakar rujuk Allahyarham tentang isu-isu yang melibatkan undang-undang. Radzi lah orangnya yang membekalkan akta pertubuhan terutamanya tentang peruntukan seksyen 70 akta pertubuhan 1965 kepada kami semua.

Sesungguhnya UMNO yang asal memang boleh dihidupkan dengan akta pertubuhan 1965 seksyen 70, jika Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasanya untuk menghidupkannya. Tetapi politik adalah politik. Saya ingin menulis isu ini dalam tulisan tulisan yang akan datang, insyaallah.

Cikgu Kahar tetap tidak menyertai UMNO hingga ke akhir hayatnya kerana sikap pemimpin-pemimpin UMNO tidak berusaha untuk menghidupkan UMNO asal malahan menghalang usaha ramai pemimpin dan ahli yang lain untuk menghidupkannya.

Ramai yang memujuk Cikgu Kahar untuk menyertai UMNO yang ada ini, tetapi beliau tetap tidak bersetuju. “Zeila bintang filem itu tidak serupa dengan Zeila yang menjadi Mascot Tahun Melawat Malaysia (TMM) 1991 dulu. Ziela Mascot TMM 1991 itu Orang Utan, Sabarudin Cik yang bagi nama!” katanya yang bermaksud UMNO hari ini hanya pada namanya sahaja, tetapi perjuangannya sudah lari begitu jauh.

Saya begitu menghormati Cikgu Kahar kerana perjuangannya yang luhur untuk bangsanya. Perginya beliau sama seperti pemergian Tunku A Rahman dan Datuk Husein Onn, tidak ada namanya terdaftar sebagai ahli UMNO.

Semoga rohnya di bariskan bersama roh yang mukmin.

WASSALAM.





No comments: